BERITA SEMASA

KKM perketat pelaksanaan waktu kerja PPS, garis panduan baharu bakal diumum

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan garis panduan baharu dalam masa terdekat bagi memperkukuh pelaksanaan waktu bekerja Pegawai Perubatan Siswazah (PPS), susulan dakwaan beban tugas dan kerja lebih masa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penambahbaikan itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan Sistem Waktu Kerja Fleksi lebih selaras dengan keadaan sebenar di lapangan.

Menurut beliau, garis panduan baharu itu dijangka diumumkan dalam tempoh sehari dua lagi.

“Ia bertujuan memperkukuhkan lagi ketetapan waktu bekerja supaya selaras dengan garis panduan asal sistem fleksi, selain mengambil kira realiti semasa di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan CRM Trial Connect Conference 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang dibangkitkan Malaysian Medics International (MMI) mengenai PPS yang didakwa bekerja antara 10 hingga 15 jam lebih masa seminggu tanpa bayaran.

MMI sebelum ini mendakwa, sebahagian PPS berdepan beban kerja tinggi sehingga mencecah 85 jam seminggu selain wujud budaya kerja tidak rasmi yang menyebabkan kerja lebih masa tidak direkodkan.

Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa PPS sebenarnya tertakluk kepada garis panduan sedia ada di bawah sistem fleksi yang menetapkan tempoh kerja antara 65 hingga 80 jam seminggu.

“Perkara ini sudah termaktub dalam pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan. PPS bukan ‘extra pairs of hands’,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Tambah beliau, sekiranya masih berlaku isu beban kerja melampau, ia lebih berkait dengan aspek pelaksanaan di peringkat lapangan dan bukannya kelemahan dasar sedia ada.

“Kalau ada isu, kita perlu kembali kepada peraturan asal yang telah ditetapkan dan memperbaiki pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, MMI turut mendakwa tempoh syif panjang yang dilalui PPS di Malaysia tidak setara dengan amalan di beberapa negara maju seperti United Kingdom dan Ireland.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button