BERITA SEMASA

Hospital Pasir Gudang beroperasi sepenuhnya pertengahan 2026 – Dr. Dzulkefly

MUAR – Hospital Pasir Gudang (HPG) dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan ketika menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.

“Kami telah menghadap Pemangku Sultan Johor bersama Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab.

“Atas keprihatinan baginda untuk mengetahui persiapan HPG, kami menjelaskan secara jujur usaha sedang digerakkan bagi memastikan hospital itu dapat beroperasi penuh menjelang pertengahan tahun hadapan,” katanya.

Dzulkefly berkata demikian selepas lawatan rasmi ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, yang turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut.

Menurutnya, HPG ketika ini beroperasi sekitar 20 peratus dengan perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Jabatan Pesakit Luar, namun kapasiti itu akan ditingkatkan secara berperingkat termasuk penambahan pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat.

“TMJ turut bertanya mengenai isu sumber manusia dan bagaimana kita mahu menanganinya. Penjelasan telah diberikan KKM akan memberikan tumpuan penuh bagi memastikan HPG dapat beroperasi pada jadual yang dicadangkan.

“Kami sedang meneliti kekurangan tenaga kerja secara menyeluruh di seluruh negara dan langkah-langkah sedang diambil untuk mengatasinya. Fokus khusus akan diberikan kepada HPG bagi memastikan kekosongan jawatan dapat diisi segera,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button