BERITA SEMASA

33 kes batuk kering dikesan di Kota Tinggi, satu kluster dikenal pasti

KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 kes tuberkulosis atau batuk kering dilaporkan di Kota Tinggi, Johor, melibatkan satu kluster jangkitan yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Jabatan itu berkata, kluster berkenaan disahkan pada 25 Januari lalu dan semua kes dikesan hasil saringan aktif ke atas 804 kontak rapat.

“Sehingga 4 Februari, kesemua 33 pesakit sedang menerima rawatan dan dipantau rapi di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Semua kes berasal daripada satu kluster yang sama dan rawatan telah dimulakan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Dalam perkembangan sama, jabatan berkenaan mengesahkan satu kematian dilaporkan dalam kluster tersebut, namun kematian berkenaan bukan disebabkan oleh jangkitan tuberkulosis.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihatkan penduduk Kota Tinggi dan kawasan berhampiran supaya segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, penurunan berat badan, hilang selera makan, peluh malam atau batuk berdarah.

Orang ramai yang pernah mempunyai kontak rapat dengan pesakit disahkan turut diminta tampil menjalani pemeriksaan bagi mengelakkan penularan jangkitan.

Tuberkulosis merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan boleh merebak melalui udara, khususnya dalam kalangan individu yang berada dalam jarak dekat untuk tempoh yang lama.

Penyakit ini boleh dicegah dan disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan berkesan dengan tempoh rawatan minimum selama enam bulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button