BERITA SEMASADALAM NEGERI

PPUM: Kejayaan pembedahan pemindahan hati bayi bukti kepakaran perubatan negara – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Kejayaan pembedahan pemindahan hati oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terhadap bayi lelaki berusia empat bulan adalah bukti bahawa perubatan Malaysia mempunyai kepakaran bertaraf dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bayi seberat 6.2 kilogram (kg) itu mengalami kegagalan hati dan memerlukan pemindahan organ secara segera daripada ibunya pada 25 November lalu.

Bagaimanapun, beberapa minit sebelum prosedur bermula, jantung bayi tersebut terhenti secara tiba-tiba sehingga mencetuskan suasana cemas di Unit Rawatan Rapi Pediatrik PPUM.

“Pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Satu jam yang penuh debaran. Nyawa anak kecil ini benar-benar di hujung tanduk.

“Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan kembali bayi itu, malah dengan penilaian klinikal yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat iaitu untuk meneruskan pembedahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam,.

PPUM
Foto ihsan Facebook Dr Dzulkefly Ahmad

Menurut Dzulkefly, meskipun prosedur berkenaan berisiko tinggi serta rumit memandangkan pembuluh darah bayi tersebut sangat halus, kepakaran pakar bedah, pakar bius dan jururawat di PPUM membolehkan pembedahan pemindahan hati itu berjaya dilaksanakan.

“Kita ada bakat untuk mencipta keajaiban. Apa yang kita perlukan sekarang ialah sistem sokongan dan kesedaran rakyat untuk tampil berikrar sebagai penderma,” katanya.

baca juga : Caj PPUM naik: Parlimen Lembah Pantai kumpul dana RM5 juta, bantu golongan memerlukan

Beliau berkata, kementerian tekad memacu Agenda Transplantasi Nasional 2026 yang bertujuan menstruktur semula dan memperkasakan perkhidmatan pemindahan organ di Malaysia, termasuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk tampil sebagai penderma organ.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mendoakan agar bayi lelaki berkenaan segera sembuh serta membesar dengan sihat dan kuat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button