
Kes demam denggi catat penurunan, tiada kematian direkodkan
KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28 tahun ini, menurun daripada 2,805 kes kepada 2,373 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut.
Jelas beliau, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu
Epidemiologi ke-28 adalah sebanyak 80,441 kes berbanding 63,966 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
Selain itu, terdapat 65 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 45 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28
adalah sebanyak 100 lokaliti berbanding 86 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
“Dari 100 lokaliti yang dilaporkan, 74 lokaliti di Selangor, enam lokaliti di Negeri Sembilan, enam lokaliti di Perak, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat lokaliti di Kedah, dua lokaliti di Pulau Pinang, satu lokaliti di Negeri Sarawak dan satu lokaliti di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat tujuh kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-28.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 54 kes dan tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-28,” ujarnya lagi.
Tambah Muhammad Radzi, bagi survelan zika, sebanyak 1,437 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








