Johan Ghazali akui sukar terima individu gemuk tidak berusaha jaga kesihatan
KUALA LUMPUR – Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali mengakui beliau cenderung membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan bentuk fizikal dan gaya hidup, khususnya melibatkan individu obesiti atau tidak menjaga kesihatan.
Pengakuan terbuka atlet muda itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen apabila beliau secara jujur menyatakan kurang menyukai individu gemuk yang sedar diri tidak sihat tetapi enggan berusaha mengubah kehidupan mereka.
Menurut Johan, beliau tidak mempunyai masalah dengan individu berbadan besar yang sedar tentang keadaan diri dan berusaha memperbaiki kesihatan melalui senaman, penjagaan pemakanan serta pembelajaran mengenai nutrisi.
Katanya, golongan seperti itu tetap mendapat penghormatan daripadanya kerana mempunyai kesedaran dan disiplin untuk berubah menjadi lebih sihat.
“Orang gemuk ada dua jenis. Satu, dia sedar dia gemuk dan cuba berubah. Yang itu saya hormat. Tapi satu lagi, dia tahu dia gemuk tetapi tidak kisah. Orang macam itulah yang saya tak suka,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial miliknya semalam.
Baca juga : Jojo tewas kepada Yoshinari di Tokyo
Dalam pada itu, Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo turut mengakui beliau sering membuat tanggapan awal terhadap seseorang berdasarkan fizikal mereka, termasuk menganggap individu berbadan cergas lebih berdisiplin dan boleh dipercayai.
Menurutnya, individu yang mempunyai tubuh badan sihat sering dilihat lebih menitikberatkan pengurusan diri, menepati masa serta memiliki kawalan diri yang baik berbanding mereka yang mengabaikan aspek kesihatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya juga tidak sempurna dan pernah berdepan situasi terlebih makan atau kurang menjaga rutin harian, namun sentiasa sedar untuk kembali mengawal gaya hidup.
Johan turut membandingkan budaya hidup sihat masyarakat di Jepun dengan situasi di Malaysia yang menurutnya berdepan isu obesiti semakin membimbangkan.
Menurutnya, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan kerana badan yang cergas mampu membantu kecerdasan mental serta meningkatkan kualiti kehidupan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















