KPM sentiasa utamakan kesihatan, keadaan pelajar ketika sertai kejohanan
BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mengutamakan keadaan kesihatan pelajar terutamanya apabila mereka menyertai sebarang kejohanan sukan dianjurkan sekolah atau pihak luar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian melalui pihak sekolah dari awal telah mengingatkan perkara berkenaan dengan meminta ibu bapa memaklumkan status kesihatan anak mereka yang terbabit dalam sukan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Dari aspek kesihatan, anak-anak ini sebenarnya lebih awal kita telah pun peringatkan dan laporan (perubatan) itu sebenarnya kita minta daripada ibu bapa untuk memaklumkan kepada kita.
“Jadi untuk kehadapan ini, tumpuan kita adalah soal keselamatan keseluruhan, maknanya bergantung kepada yang disebut sebagai jenis sukan itu dan kemudian persiapan sebagai perubatan iaitu (menempatkan) pasukan perubatan yang pastinya dipersiapkan juga dalam konteks setiap perlawanan.
“Pada masa sama, memperingatkan anak-anak kita dan jurulatih kita tentang keselamatan yang terus kita perlu tambah baik,” katanya ketika diminta mengulas sama ada KPM mewajibkan pemeriksaan kesihatan ke atas pelajar yang mahu mengikuti sebarang kejohanan sukan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman, Kubang Semang, di sini hari ini.
Kelmarin, seorang Pelajar Tingkatan Empat, Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, meninggal dunia secara mengejut ketika menyertai perlawanan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak.
Bedah siasat terhadap jasad pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor itu mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalaman otot pinggul.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








