SUKAN

Jojo tewas kepada Yoshinari di Tokyo

KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk meneruskan momentum kemenangan tidak kesampaian apabila tewas kepada petarung Jepun, Shimon Yoshinari pada aksi ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo.

Muhammad Johan Ghazali Zulfikar
Muhammad Johan Ghazali Zulfikar

Dalam pertarungan kategori flyweight itu, Johan atau dikenali sebagai Jojo terpaksa akur dengan keputusan sebulat suara juri selepas melalui pertarungan sengit selama tiga pusingan.

Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung berhati-hati dengan saling menguji kekuatan, namun tiada kelebihan jelas memihak kepada mana-mana pihak apabila Johan lebih banyak bertahan.

Memasuki pusingan kedua, Jojo meningkatkan rentak dengan corak serangan lebih agresif dan tersusun, malah beberapa kombinasi pukulan berjaya menguji pertahanan Yoshinari sehingga menyebabkan lawannya terjatuh serta mengalami pendarahan.

Namun, momentum itu gagal diteruskan pada pusingan ketiga apabila Johan dilihat sukar mengawal jarak dan tempo perlawanan.

Yoshinari yang lebih berpengalaman mengambil kesempatan dengan melancarkan serangan balas konsisten sehingga memaksa Johan banyak berundur.

Tekanan berterusan daripada petarung tuan rumah itu akhirnya mempengaruhi keputusan juri yang memberikan kemenangan sebulat suara kepada Yoshinari sebaik tamat pertarungan.

Kekalahan tersebut menyekat rentak cemerlang Johan selepas kejayaannya menewaskan petarung Myanmar, Ye Yint Naung pada Februari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button