DAP nilai semula strategi selepas tewas 11 kerusi di Johor
KUALA LUMPUR – DAP menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan terbuka sambil mengakui kekalahan itu menjadi isyarat untuk parti berkenaan menilai semula strategi dan kelemahan yang ada.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, parti itu menghormati mandat rakyat Johor selain mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan yang diraih.
“Malam ini keputusan tidak berpihak kepada kami. Dengan rendah hati, DAP menerima keputusan ini dan menghormati pilihan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, DAP akan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap kekalahan di beberapa kerusi termasuk DUN Jementah dan Tangkak bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada keputusan tersebut.
Menurutnya, antara faktor utama ialah peralihan undi penyokong Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 2022 di Johor Jaya dan Perling kepada calon BN pada pilihan raya kali ini.
“Walaupun peratusan undi Pakatan Harapan (PH) meningkat di kedua-dua kerusi itu, ia masih tidak mencukupi untuk menewaskan calon BN,” katanya.
Teo berkata, DAP akan mengambil iktibar daripada keputusan itu dan memperkukuhkan strategi menghadapi cabaran politik akan datang, sambil menegaskan perjuangan membela hak rakyat akan diteruskan.
Pada PRN Johor Ke-16 semalam, DAP tewas di 11 daripada 17 kerusi yang ditandingi termasuk kehilangan empat kerusi penyandang iaitu Johor Jaya, Perling, Tangkak dan Jementah kepada calon MCA dan MIC yang mewakili BN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















