BERITA SEMASA

KKM belanja RM1.07 juta bagi pelaksanaan program PrEP

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan RM1.07 juta bagi pelaksanaan projek Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak ia dimulakan pada Januari 2023 hingga 30 Jun tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi kos pembelian ubat PrEP yang dibiayai melalui sumbangan Majlis AIDS Malaysia (MAM) menggunakan dana Global Fund kepada Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pembiayaan berkenaan dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.5 yang menetapkan garis panduan pemberian dan penerimaan hadiah dalam perkhidmatan awam,”

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas mengenai anggaran kos tahunan sekiranya program itu diperluas ke seluruh negara, Dr Dzulkefly berkata, KKM menganggarkan sebanyak RM5.41 juta diperlukan bagi meneruskan pelaksanaan program itu pada 2026.

“Peruntukan itu merangkumi bekalan ubat dan ujian makmal untuk anggaran seramai 21,136 pengguna PrEP.

“Meskipun program PrEP sudah diluluskan sebagai sebahagian daripada inisiatif pencegahan HIV di semua fasiliti kesihatan kerajaan mulai 2025, Global Fund bersetuju meneruskan pembiayaan bagi pembelian ubat PrEP di 35 klinik kesihatan kerajaan sehingga Disember 2025,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan data KKM, seramai 9,309 individu mengambil PrEP sehingga Jun 2025, dengan majoriti pengguna berasal dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 2,679 orang (28 peratus), diikuti Selangor (23 peratus) dan Johor (12 peratus).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button