BERITA SEMASA

58,079 kes demam denggi direkod, meningkat 56.2 peratus

PUTRAJAYA – Kes demam denggi di Malaysia meningkat lebih separuh tahun ini dengan 58,079 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32/2026), sekali gus meragut 55 nyawa akibat komplikasi penyakit berkenaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, jumlah itu meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan peningkatan pada peringkat awal banyak tertumpu di Lembah Klang, khususnya Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurutnya, tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif serta berfokus telah dilaksanakan termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak dan mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan.

“Tindakan yang dipergiatkan ini mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang. Namun, risiko penularan denggi masih tinggi dan situasi di peringkat nasional masih membimbangkan berikutan peningkatan kes yang kini turut dikesan di beberapa negeri lain,” kata KKM dalam kenyataan hari ini.

KKM berkata, peningkatan kes turut dipengaruhi keadaan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan berselang dengan cuaca panas mewujudkan persekitaran sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.

Kewujudan bekas yang menakung air dan tidak diselenggara di kawasan kediaman serta persekitaran turut meningkatkan risiko pembiakan dan penularan denggi.

“Pencegahan dan kawalan denggi memerlukan pendekatan seluruh masyarakat (whole-of-society), khususnya apabila lebih 70 peratus tempat pembiakan Aedes masih ditemui di kawasan kediaman.

“Kementerian dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pengurusan premis, komuniti serta setiap individu perlu memainkan peranan dalam memastikan kawasan di bawah tanggungjawab masing-masing bebas daripada tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Dalam perkembangan sama, orang ramai diseru meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di dalam serta sekitar kediaman.

KKM turut menggesa masyarakat mengambil langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk selain mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami demam atau tanda amaran denggi.

“KKM akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan,” katanya.

Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 25,090 kes sehingga 15 Ogos lalu, meningkat 61 peratus berbanding 15,610 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencatatkan 10,316 kes, meningkat 106 peratus berbanding 5,013 kes tahun lalu, manakala Johor merekodkan 8,639 kes, naik 109 peratus daripada 4,140 kes.

Perlis mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi peratusan, iaitu 207 peratus dengan 169 kes berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan turut direkodkan di Terengganu sebanyak 70 peratus, Sabah (34 peratus), Sarawak (33 peratus), Pahang (11 peratus) dan Kelantan (10 peratus).

Bagaimanapun, tiga negeri mencatatkan penurunan kes iaitu Kedah sebanyak 60 peratus, Melaka (36 peratus) dan Pulau Pinang (26 peratus).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button