Kadar jangkitan influenza tunjuk penurunan pada ME43/2025 – KKM
PUTRAJAYA – Kadar jangkitan influenza di negara ini menunjukkan trend menurun pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-43 iaitu bagi tempoh 19 hingga 25 Oktober lalu berbanding ME ke-42 dari 12 hingga 18 Oktober.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), pemantauan melalui kadar konsultasi penyakit serupa influenza (ILI) dan kadar kemasukan ke hospital bagi kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) menunjukkan kedua-duanya mencatatkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.
“Penurunan kadar konsultasi ILI adalah daripada 9.68 peratus kepada 8.18 peratus manakala penurunan kadar kemasukan kes SARI daripada 10.56 peratus kepada 10.45 peratus,” menurut KKM dalam kenyataan hari ini.
Menurut KKM, setakat ini jujukan genom menunjukkan tiada sebarang mutasi baharu virus influenza dikesan, manakala sebanyak 30 kluster direkodkan bagi jangkitan saluran pernafasan akut pada ME43/2025 iaitu penurunan sebanyak 86 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Memperincikan trend kluster mengikut premis, KKM memaklumkan sekolah merekodkan sebanyak 15 kluster diikuti rumah persendirian (tujuh), tadika (empat), lain-lain premis (dua) serta taska satu kluster.
“Bagi ME 43/2025, tiada kluster dilaporkan di institusi pendidikan lain serta pusat jagaan. Sekolah terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan kluster dengan melibatkan 27 kluster,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, kebanyakan individu yang dijangkiti virus influenza akan pulih sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari hingga seminggu.
Bagaimanapun, KKM memaklumkan jangkitan influenza boleh menyebabkan jangkitan yang serius atau komplikasi dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik.
“Berdasarkan pengawasan ILI dan SARI di sentinel seluruh Malaysia, lebih daripada 70 peratus kes ILI dan SARI adalah dalam kalangan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








