KPT dedahkan peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar IPT
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendedahkan terdapat peningkatan bilangan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang berumur 18 hingga 25 tahun di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, menurut makluman kes yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan, 214 pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta telah dijangkiti HIV pada 2020.
Katanya, angka itu menurun sedikit pada 2021 kepada 186 individu tetapi menunjukkan peningkatan semula pada 2022 (221 individu) dan 2023 (224).
“Peratusan pelajar institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang dijangkiti HIV adalah antara 6.7 peratus dan 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes HIV baharu yang dikenal pasti pada tahun-tahun tersebut,” katanya menerusi dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta Zambry untuk menyatakan jumlah pelajar IPT yang dijangkiti HIV sejak 2020 hingga kini.
Dalam pada itu, Zambry berkata pihaknya akan merancang dan melaksanakan pelbagai program sebagai langkah memupuk gaya hidup sihat dan memberi tumpuan kepada advokasi, kesedaran dan pencegahan penyakit tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








