Mahasiswa UPTM jayakan CITRALOKA 2026, libatkan OKU dan persembahan budaya pelbagai kaum
KUALA LUMPUR – Program CITRALOKA 2026 anjuran mahasiswa Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) membawa kelainan dengan penglibatan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta persembahan budaya pelbagai kaum, sekali gus memupuk semangat inklusif, kesukanan dan perpaduan masyarakat.
Menurut Pejabat Canselori UPTM, penyertaan golongan OKU bukan sahaja memberi inspirasi, malah membawa mesej bahawa setiap individu tanpa mengira keupayaan berhak dan mampu menyertai aktiviti sukan serta kemasyarakatan.
“Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan penerimaan, empati dan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai rekod, program tersebut digerakkan pelajar Kursus COC4024 Communication Final Project, yang turut menampilkan kolaborasi bersama Persatuan Pelari Anak Luar Biasa (Little Fighters Runners) bagi memastikan penyertaan inklusif dalam aktiviti larian dan komuniti.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPTM, Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh sebagai tanda sokongan terhadap usaha belia dalam memupuk perpaduan dan penglibatan aktif komuniti.

Selain larian, CITRALOKA 2026 turut mengetengahkan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian kathaak, tarian kipas, zapin, joget, dikir barat serta silat yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Penganjuran itu merupakan hasil kolaborasi antara pelajar, CitraLoka dan UPTM, selain selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) meliputi aspek kesihatan, komuniti mampan serta kerjasama strategik.
Dari segi sokongan industri, program tersebut mendapat tajaan daripada Commerce Dot Com (CDC), Nestlé Sdn. Bhd., Adabi dan B.U.M Equipments Malaysia bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 700 peserta melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa, golongan belia serta masyarakat umum dengan dua kategori larian iaitu 5 kilometer dan 10 kilometer.
“Penganjuran program ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh perpaduan, semangat kesukanan serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat,” tambah kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








