UMNO putuskan terus sokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR – UMNO terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang berlangsung semalam.
Namun, pada masa sama katanya, UMNO berpendirian untuk menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) /Barisan Nasional (BN) yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar.
“UMNO Malaysia memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
“UMNO Malaysia juga telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan akan diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
Katanya, ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















