POLITIK

UMNO tidak layan label negatif, fokus perkuat parti – Mohamad

SEREMBAN – UMNO memilih untuk tidak melayan pelbagai label negatif yang dilemparkan pihak tertentu, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keharmonian dalaman parti bagi membina semula kekuatan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu kini dalam proses memperkasakan semula organisasi bermula dari peringkat akar umbi bagi memastikan perpaduan dalam kalangan ahli terus menjadi asas utama menghadapi cabaran politik akan datang.

Menurutnya, pelbagai label yang diberikan kepada parti itu tidak perlu dilayan kerana tumpuan utama ketika ini adalah memperkukuh perpaduan dan memantapkan gerak kerja parti.

“Tak kisahlah orang label kita ‘rumah hantu’ kerana inisiatif Rumah Bangsa, terpulanglah. Orang tua-tua kata bahasa menunjukkan bangsa.

“Kalau nak tunjuk kita daripada orang baik-baik, gunakanlah bahasa yang baik terutama dalam bulan puasa ini,” katanya memetik laporan BH online.

Sebelum itu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali ke pangkuan parti menerusi inisiatif Rumah Bangsa tanpa dikenakan sebarang syarat.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi pilihan raya, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, UMNO sudah mula membincangkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada hujung tahun ini dan Johor pada tahun depan.

Menurutnya, parti telah mengarahkan semua cawangan mengadakan mesyuarat lebih awal iaitu pada April dan Mei, manakala mesyuarat bahagian dijadualkan berlangsung pada Jun hingga Julai.

“Selepas itu kita akan memberi tumpuan membantu rakan-rakan di Melaka dan Johor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata keutamaan UMNO ketika ini adalah menyokong usaha kerajaan dalam memastikan momentum kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara terus dikekalkan.

“Langkah itu penting terutama ketika negara berdepan kesan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button