Turunkan hantaran, mohon maaf secara terbuka demi pulihkan keharmonian politik – gesa UMNO Selangor kepada Bee Yin
KUALA LUMPUR – UMNO Selangor menyokong penuh tindakan Pergerakan Pemuda UMNO nrgeri itu yang menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung kenyataan di media sosialnya yang bersifat sinis, tidak beradab dan mencetuskan provokasi politik.
Menurutnya, kenyataan yang dimuat naik oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu jelas tidak sensitif, tidak berempati serta gagal menghormati semangat rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO Selangor ingin menegaskan bahawa isu yang menjadi perhatian rakyat ketika ini bukan sekadar soal individu, tetapi melibatkan kewujudan dan pelaksanaan Titah Addendum yang telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, iaitu suatu titah yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan negara.
“Dalam konteks ini, sebarang bentuk perayaan, sindiran atau kenyataan sinis terhadap keputusan mahkamah yang berkait rapat dengan isu berkenaan boleh ditafsirkan sebagai memperlekehkan kepentingan Titah Raja, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang tahap penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, UMNO Selangor juga ingin mengingatkan bahawa proses perundangan berkaitan perkara itu belum mencapai penamat keseluruhan, memandangkan bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan melalui saluran sah yang diperuntukkan undang-undang.
Katanya, sekiranya proses rayuan tersebut kelak menghasilkan keputusan berbeza dan kedudukan Titah Addendum diperakui secara sah, maka kenyataan-kenyataan bersifat sinis dan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan sebelum ini akan jelas memperlihatkan ketidaksensitifan serta kegagalan memahami prinsip keadilan dan Raja Berperlembagaan.
“Inilah sebab utama UMNO Selangor berpandangan bahawa tindakan Bee Yin bukan sahaja tidak beradab dari sudut politik, malah sensitif dari sudut perlembagaan, khususnya apabila ia dibuat oleh seorang Ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya memahami dan menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.
“UMNO Selangor menegaskan bahawa tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum tuntutan permohonan maaf terbuka serta desakan agar hantaran tersebut diturunkan adalah wajar, berprinsip dan berpaksikan kepentingan institusi negara, bukan bersifat emosi atau kepartian sempit.
“UMNO Selangor turut menolak keras cubaan pihak tertentu, termasuk DAPSY Selangor, untuk melabelkan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor sebagai “gimik” atau “intimidasi”.
“Hakikatnya, penyerahan memorandum secara aman di hadapan pusat khidmat wakil rakyat adalah amalan demokrasi yang sah, beradab dan berperlembagaan.
“Ia bukan provokasi, sebaliknya satu bentuk teguran politik berfakta terhadap kenyataan awam seorang Ahli Parlimen. Menyamakan tindakan berprinsip ini dengan sandiwara politik hanyalah cubaan mengelak daripada menjawab isu pokok, iaitu kebiadapan kenyataan yang menyentuh sensitiviti proses perundangan dan implikasinya terhadap Titah Raja.
“Malah, dalam konteks politik semasa, UMNO juga tidak pernah meraikan kekalahan mana-mana parti lawan, termasuk keputusan pilihan raya negeri di Sabah baru-baru ini, walaupun ia melibatkan kegagalan DAP memperoleh sebarang kerusi.
“Inilah perbezaan ketara antara politik beradab dan politik ejekan. Lebih membimbangkan, kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Bee Yin ini mengukuhkan persepsi lama bahawa pimpinan DAP masih gagal menunjukkan kepekaan terhadap perkara-perkara asas negara, termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu dan peranan institusi Diraja dalam sistem perundangan dan kenegaraan Malaysia, ” katanya.
Sehubungan itu, UMNO Selangor menyeru agar pimpinan DAP di Selangor, khususnya Bee Yin, menghentikan politik sindiran dan provokasi, menghormati sensitiviti rakyat serta bertindak secara bertanggungjawab dengan menurunkan hantaran berkenaan dan memohon maaf secara terbuka demi memulihkan keharmonian politik.
Katanya, UMNO Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan adab politik, kedaulatan perlembagaan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan memperlekehkan prinsip tersebut, sama ada secara terbuka atau tersirat.
“Prinsip ini akan terus menjadi pendirian UMNO Selangor dalam memastikan politik negara kekal beradab, berperlembagaan dan menghormati institusi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








