BERITA SEMASA

Pembaharuan lesen CKAPS boleh guna aplikasi atas talian mulai 1 Julai ini

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan pembaharuan dalam perlesenan institusi kesihatan swasta dengan penggunaan sistem aplikasi atas talian myBRP@CKAPS di sini, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembaharuan tersebut dibangunkan secara dalaman oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] bagi mempercepatkan proses pengeluaran lesen.

“Ia bermula dengan Fasa 1(a) melibatkan Modul Pembaharuan Lesen Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis pelancaran myBRP@CKAPS di Kompleks E, di sini, hari ini.

Katanya, KKM menyasarkan penglibatan 120 buah fasiliti kesihatan swasta pada fasa terawal, dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan serta mempercepat proses pengeluaran lesen.

“Pembangunan sistem ini melibatkan empat fasa dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027, fasa seterusnya akan merangkumi komponen tandatangan digital aplikasi mudah alih bagi semakan status permohonan serta pembayaran dalam talian,” katanya.

Jelasnya, pasukan CKAPS bertekad untuk menurunkan waktu mengurus (lesen) hanya kepada tiga bulan.

“KPI (indeks petunjuk prestasi) dua hingga tiga bulan. Banyak penjimatan kepada pemain industri fasiliti kesihatan swasta,” katanya.

Tambahnya, modul pembaharuan lesen itu boleh diakses mulai 1 Julai ini.

“Ia dibuka kepada pemohon dari fasiliti kesihatan swasta yang memegang lesen premis enam bulan hingga sembilan bulan sebelum tarikh luput,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pemohon digalakkan untuk mendaftarkan diri dalam sistem terlebih dahulu sebelum memulakan proses pemohonan di laman sesawang https://www.mybrp.moh.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button