AMRENCANA

MADANI Mart bukan penjenamaan semula KR1M

Perkasa ekonomi rakyat, perluas akses barangan keperluan pada 'Harga Rahmah'

MADANI Mart merupakan inisiatif peruncitan komuniti yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 April 2026 bagi menyediakan barangan keperluan pada harga mampu milik ‘Harga Rahmah’.

Diterajui oleh Yayasan MADANI, projek ini bertujuan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun, dengan memastikan sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, sejak pelancarannya, inisiatif berkenaan menerima pelbagai tohmahan liar daripada golongan yang sinis terhadap usaha kerajaan MADANI dalam membantu rakyat.

Sehubungan itu, Pengurus Yayasan MADANI bagi operasi MADANI Mart, Lutfi Mohd Ariffin hari ini tampil menjelaskan segala dakwaan liar dan tidak berasas khususnya berhubung sumber modal, pemilikan dan tadbir urus.

1) Model Perniagaan dan Pemilikan
Secara ringkas, MADANI Mart merupakan model perniagaan berasaskan kolaborasi public-private-social partnership (PPSP). MADANI Mart beroperasi melalui model pelesenan di mana Yayasan MADANI bertindak sebagai pemberi lesen kepada penjenamaan, konsep dan model perniagaan yang didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), tanpa melibatkan sebarang pengeluaran modal oleh Yayasan.

Setiap outlet dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh usahawan di bawah entiti perniagaan. Struktur ini memastikan bahawa setiap MADANI Mart adalah perniagaan milik usahawan tempatan dan bukannya milik kerajaan atau Yayasan.

2) Persaingan Terbuka dan Peluang Penyertaan
MADANI Mart juga beroperasi dalam persekitaran persaingan terbuka tanpa sebarang monopoli dalam pelantikan pembekal atau pengusaha.

Pemilihan dibuat berdasarkan keupayaan komersial dan kecekapan operasi serta rantaian bekalan yang efektif dan efisien. Pada masa yang sama, MADANI Mart sedang meneliti permohonan daripada perniagaan kedai runcit sedia ada untuk dinaik taraf serta menyertai rangkaian ini melalui proses ‘onboarding’.

Peluang penyertaan adalah terbuka kepada individu, perkongsian perniagaan serta entiti komuniti seperti koperasi.

3) Perbezaan dengan Inisiatif Terdahulu (KR1M)
Dakwaan bahawa MADANI Mart merupakan penjenamaan semula Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) adalah jauh menyeleweng dan tidak tepat.

Model MADANI Mart berbeza secara asas kerana tidak melibatkan pembiayaan modal permulaan (CAPEX) atau kos operasi (OPEX) oleh kerajaan.

Sebaliknya, ia dipacu sepenuhnya melalui penyertaan usahawan berasaskan mekanisme pasaran dan pemilikan persendirian. Yayasan MADANI bertindak sebagai pemudah cara ekosistem dan inkubator usahawan, dan bukan sebagai pengendali runcit.

4) Peranan Yayasan sebagai Inkubator Keusahawanan
Yayasan MADANI memainkan peranan sebagai inkubator keusahawanan yang menyediakan latihan berstruktur, bimbingan perniagaan dan sokongan operasi seperti sistem titik jualan (POS), CCTV, pemasaran dan promosi serta penilaian runcit (retail assessment) berasaskan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) secara berterusan.

Pada masa yang sama, Yayasan bertindak sebagai pelindung (safeguard) bagi memastikan elemen tanggungjawab sosial MADANI Mart sentiasa dipelihara, termasuk dari segi keterjangkauan harga, pematuhan standard dan akses kepada barangan keperluan asas dengan harga Rahmah.

5) Tadbir Urus dan Peranan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MADANI
Dalam aspek tadbir urus MADANI Mart, pengoperasian dilaksanakan oleh pasukan pengurusan yang profesional, manakala Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MADANI berfungsi memastikan hala tuju, integriti dan pematuhan organisasi sentiasa terpelihara.

Ahli Lembaga bertindak sebagai pemegang amanah dan tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam operasi perniagaan MADANI Mart. Yayasan MADANI hanya memiliki hak terhadap penjenamaan hak cipta, konsep dan model perniagaan, manakala pemilikan outlet adalah sepenuhnya di tangan usahawan. Struktur ini memastikan tiada konflik kepentingan timbul.

6) Ketelusan Kewangan dan Penggunaan Dana
Semua dana dan transaksi Yayasan direkod, diaudit serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, tanpa sebarang pengagihan keuntungan kepada individu pemegang amanah.

Laporan kewangan Yayasan MADANI bagi tahun 2024 telah selesai diaudit, manakala laporan kewangan tahun 2025 sedang dalam proses pengauditan.

Fi perkhidmatan yang dibayar oleh usahawan digunakan untuk menyokong pembangunan ekosistem termasuk latihan, sistem operasi, akses kepada rantaian bekalan serta pemantauan prestasi, selaras dengan peranan Yayasan MADANI sebagai inkubator.

7) Sumber Modal dan Pembiayaan
MADANI Mart tidak melibatkan dana kerajaan. Modal outlet ditanggung sepenuhnya oleh usahawan, manakala Yayasan MADANI tidak menyalurkan modal atau memegang saham, sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara dan inkubator keusahawanan.

8) Nilai Pelaburan bagi Pengusaha MADANI Mart
Sekiranya anda memohon untuk menjadi pengusaha MADANI Mart, beberapa komponen sokongan dan kemudahan akan disediakan bagi memastikan operasi perniagaan dapat dijalankan dengan lancar dan berdaya saing.

Antaranya termasuk:
• Akses kepada barangan berkualiti dan berjenama pada harga yang kompetitif
• Kos pengubahsuaian premis di awal (Renovation) dan penyediaan peralatan untuk
outlet (Equipment)
• Sistem Titik Jualan (POS) serta pemasangan CCTV
• Latihan awal (pre-training) kepada kakitangan
• Sokongan pemasaran dan promosi berterusan
• Penyediaan stok awal (SKU Inventory)
• Khidmat rundingan dan bimbingan operasi berterusan
• Peluang menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam pelaksanaan Jualan
Rahmah, perlaksanaan SARA dan STR
• Kemudahan kredit fasiliti selama satu (1) bulan

9) Komitmen Pengusaha MADANI Mart
Bagi menyertai sebagai pengusaha MADANI Mart, komitmen kewangan yang terlibat adalah seperti berikut:
• Fi pelesenan (licensing fee) – RM30,000 (sekali sahaja)
• Fi Pembaharuan Pelesenan Setiap Tahun – RM5,000
• Fi perkhidmatan – RM2,000 sebulan (RM900 operasi + RM100 tanggungjawab
sosial (CSR) + RM1,000 sistem meliputi penyelenggaraan sistem, sokongan
operasi, pemantauan prestasi serta penambahbaikan yang berterusan.)
• Inventori awal – sekitar RM150,000
• Kos pengubahsuaian lengkap termasuk peralatan (seperti freezer, rak dan lain-lain,
dengan pilihan kontraktor sendiri) – sekitar RM220,000
• Fi konsultan (sekali sahaja) merangkumi latihan awal dan latihan semasa secara berterusan, bimbingan, penyediaan CCTV, sistem titik jualan (POS), serta sokongan promosi dan pemasaran berterusan – sekitar RM20,000.

Secara keseluruhannya, anggaran nilai pelaburan yang diperlukan untuk memulakan operasi sebagai pengusaha MADANI Mart adalah sehingga maksimum RM420,000 tertakluk kepada lokasi dan skala premis.

10) Hala Tuju dan Pendekatan Pelaksanaan
Pendekatan ini mencerminkan model berteraskan pemilikan perniagaan oleh rakyat, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai usahawan tempatan menyertai sektor runcit moden dalam ekosistem yang telus, tersusun dan berdaya saing serta mendapat akses kepada rantaian bekalan yang mampan.

Sehubungan itu, dakwaan bahawa MADANI Mart dibiayai oleh kerajaan, dimiliki pihak tertentu atau mempunyai kepentingan tersembunyi adalah tidak berasas serta tidak disokong fakta pelaksanaan sebenar.

Yayasan MADANI mengalu-alukan penyertaan lebih ramai usahawan tempatan sebagai pemegang lesen dan pemilik perniagaan, selaras dengan usaha memperkasa ekonomi rakyat dan memperluas akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Check Also
Close
Back to top button