Garis panduan satu peringatan kepada orang Islam – Ketua Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada keperluan untuk kerajaan menyediakan garis panduan keterlibatan umat Islam dalam majlis perayaan atau program di rumah ibadat agama lain.
Kata Dr. Akmal, garis panduan itu perlu disediakan kerana tidak semua orang Islam tahu dan mempunyai ilmu bagi memahami hukum-hakam dalam Islam.
Pada masa yang sama, katanya dalam satu hantaran di akauan Facebook miliknya hari ini, garis panduan tersebut boleh digunakan sumber rujukan dan peringatan kepada umat Islam.
“Sama juga garis panduan peraturan jalan raya, ramai yang ada lesen sendiri pun masih tidak tahu undang-undang sedia ada… Malah ada lagi yang memandu secara mabuk.
“Jadi garis panduan ini adalah sumber rujukan. Bukan maksud tidak tahu, tetapi kadang-kadang kita terlupa dan garis panduan ini sebagai peringatan,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
EXCO kerajaan negeri Melaka itu kemudian turut mengingatkan golongan bukan Islam supaya tidak perlu terlibat atau campur tangan dalam polemik berkenaan.
“Apa lagi garis panduan untuk orang Islam yang mana terpakai untuk orang Islam sahaja. Yang bukan Islam tidak perlu terlibat pun dan tidak perlu campur tangan. As simple as that,” katanya lagi.
Perdana Menteri semalam menegaskan, Kabinet telah memutuskan bahawa garis panduan itu tidak perlu diadakan kerana orang Islam tahu dan sedar mengenai batas mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








