AI Malaysia Berhad pacu fasa baharu pembangunan AI negara
CYBERJAYA – Penubuhan AI Malaysia Berhad sebagai entiti kecerdasan buatan (AI) kebangsaan di bawah Kementerian Digital menandakan negara kini sedang melangkah ke fasa baharu pembangunan teknologi berkenaan.
Entiti yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini itu merupakan penambahbaikan dan penginstitusian rasmi daripada Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang ditubuhkan pada 12 Disember 2024 bagi memperkukuh pembangunan serta pelaksanaan dasar AI di peringkat nasional.
Kementerian Digital dalam satu kenyataan hari ini berkata, peluncuran AI Malaysia menjadi pemangkin utama ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI 2030, selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan kerangka Malaysia MADANI.
Menurut kenyataan itu, AI akan dijadikan pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, mempercepat transformasi sektor awam serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara lebih inklusif.
Sebagai entiti AI kebangsaan, AI Malaysia Berhad akan berperanan menyelaras dasar dan pelaksanaan AI di seluruh negara menerusi pendekatan whole-of-government.
Antara tanggungjawab utama entiti itu ialah menyelaras pelaksanaan dasar AI, memantau keberhasilan inisiatif berimpak tinggi di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030, membangunkan kerangka tadbir urus AI yang dipercayai, memperkukuh kerjasama strategik di peringkat antarabangsa serta menggalas fungsi Institut Keselamatan AI Malaysia.
Dalam masa sama, kerajaan turut melancarkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 yang akan menjadi agenda pembinaan negara bagi memperkukuh ekosistem AI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















