‘Jika ada warga Israel, kita akan usir’ – Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan mengusir mana-mana warga Israel yang didapati terlibat dengan Network School, sebuah komuniti kediaman bersama (co-living) dan ruang kerja bersama (co-working) di Forest City, Johor.
Beliau berkata, perkara itu kini dalam siastan pihak berkuasa berkaitan.
“Menteri Pendidikan Tinggi akan memberikan penjelasan. Kita akan siasat. Kita tidak benarkan (aktiviti seperti itu).
“Jika ada, tindakan akan diambil. Jika terdapat warga Israel, kita tidak benarkan mereka berada di sini. Mereka akan diusir,” katanya ketika hadir majlis A Celebration of Life and Peace anjuran Yayasan ERM di Hotel Mandarin Oriental, di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pihaknya telah melancarkan siasatan terhadap operasi Network School susulan dakwaan terdapat individu memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
KDN menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau organisasi yang didapati menyalahgunakan kemudahan imigresen Malaysia atau menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau kedaulatan negara.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana organisasi menggunakan Johor sebagai pangkalan untuk menyebarkan ideologi yang bercanggah dengan undang-undang atau menjejaskan kedaulatan serta kepentingan Johor dan Malaysia.
Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan berhubung Network School, sebuah komuniti kediaman bersama dan ruang kerja bersama di Forest City.
Beliau berkata, terdapat dakwaan bahawa warga Israel yang dilarang memasuki Malaysia menjadi antara anggota komuniti itu dan dipercayai memasuki negara ini menggunakan pasport negara kedua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








