Ketua Pemuda AMANAH Bachok didakwa sebar berita palsu harga petrol, mengaku tidak bersalah
SEPANG – Ketua Pemuda AMANAH Bachok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan hantaran palsu berhubung dakwaan kenaikan harga petrol dan diesel menerusi aplikasi Threads, Mac lalu.
Tertuduh, Abdullah Aqili Romeli, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.
Berdasarkan pertuduhan, Abdullah Aqili didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Threads menerusi akaun ‘@qilieybrembo’ bagi membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengandungi hantaran palsu berupa gambar laporan berita mendakwa berlaku kenaikan harga petrol dan diesel dengan niat mengganggu orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 12 tengah hari, 31 Mac lalu, sebelum hantaran berkenaan dikesan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tower 1, Cyberjaya pada pukul 3 petang hari yang sama.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa MCMC, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang difikirkan sesuai.
Bagaimanapun, Abdullah Aqili yang tidak diwakili peguam memohon jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan beliau hanya bekerja sendiri sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
“Saya mempunyai tanggungan termasuk seorang anak angkat. Saya berharap mahkamah dapat mempertimbangkan keadaan kewangan saya,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Ahmad Fuad membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















