Dua pengarah syarikat didakwa guna pelekat SIRIM palsu pada 107 tayar celup
SEPANG – Dua pengarah syarikat bersama sebuah syarikat tayar didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan pelekat Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada lebih 100 tayar celup yang dibekalkan.
Tertuduh, Yip Wei Leong dan Yip Wing Kee, yang merupakan pengarah Yik Woh Tyre Enterprise Sdn. Bhd. (No. Pendaftaran: 671922-U), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, syarikat dan kedua-dua pengarahnya pada 13 Februari lalu, kira-kira 11.30 pagi di premis syarikat di Jalan Meranti 11, Meranti Jaya Industrial Park, Puchong, dalam daerah Sepang, didapati dalam perjalanan perdagangan telah membuat representasi palsu dengan menggunakan pelekat logo SIRIM MS 224:2005 pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan SIRIM selaku pihak berwibawa.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 21 akta sama.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 21(b), jika individu bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafizi Abdul Halim bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Nur Abyan Anuar, manakala tertuduh diwakili peguam Aaron Chang.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 September depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








