BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

ASEAN AI Malaysia Summit dan Ekspo Bandar Pintar jadi pemacu agenda RMK13

KUALA LUMPUR – ASEAN AI Malaysia Summit 2025 yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos serta Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur pada 17 hingga 19 September ini dijangka menjadi platform utama untuk memperluas pelaksanaan inisiatif digital di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kedua-dua acara itu bukan sahaja mempamerkan aspirasi Malaysia dalam transformasi digital tetapi berpotensi menarik pelabur dan pemain global untuk melihat pertumbuhan ekonomi digital negara.

“RMK13 menandakan komitmen nasional dan pada dasarnya berfungsi sebagai pelan tindakan bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju secara digital, sangat produktif, makmur dan berpusatkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, acara sedemikian bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain tempatan bahkan juga tetamu asing yang akan mendapat gambaran tentang aspirasi Malaysia dalam menjadi pemain global dalam bidang digital.

“Ia juga akan menarik minat pelabur mengenai ekonomi digital kita yang berkembang pesat dan mencatatkan jumlah pelaburan digital yang diluluskan sebanyak RM163.6 bilion tahun lepas,” katanya lagi.

Tambah Gobind, Kementerian Digital menyambut baik fokus RMK13 yang menekankan pembinaan ekosistem digital teguh dan mampan bagi memacu agenda Malaysia Digital 2030.

Antara inisiatif utama kementerian termasuklah penubuhan Bank Data Kebangsaan, pembangunan sistem kembar digital nasional serta pembentukan Suruhanjaya Data Kebangsaan untuk memperkukuh tadbir urus data dan keselamatan digital negara.

“Selain itu, GovTech Malaysia akan memacu transformasi perkhidmatan awam melalui pembangunan tetingkap perkhidmatan kerajaan tunggal berasaskan aplikasi MyGov dan portal malaysia.gov.my yang hanya boleh diakses melalui MyDigital ID.

“Usaha ini menyokong sasaran kerajaan bagi memastikan 95 peratus perkhidmatan Persekutuan disampaikan secara dalam talian menjelang 2030,” katanya.

Sejak penubuhannya pada Disember 2023, Kementerian Digital telah melaksanakan pelbagai program termasuk mewujudkan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), pelancaran portal Rakyat Digital bagi meningkatkan literasi AI serta pembangunan bakat digital melalui Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDLP).

Menurut Gobind, acara berskala antarabangsa seperti ASEAN AI Malaysia Summit dan Ekspo Bandar Pintar akan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab teknologi serantau, di samping menyokong matlamat untuk meletakkan negara dalam kelompok 20 terbaik dunia dalam Indeks Pembangunan e-Kerajaan PBB menjelang 2030.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button