BERITA SEMASA

Melakar Semula Pembangunan: RMK13 tumpu pertumbuhan adil, mapan

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke‑13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat kelmarin membuka lembaran baharu pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang, bermula 2026 hingga 2030.

Bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, RMK13 memberi tumpuan kepada pelan pembangunan menyeluruh yang menekankan keadilan dan kesaksamaan, sekali gus memastikan tiada golongan masyarakat yang dipinggirkan dalam arus kemajuan negara.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, pengumuman itu membawa hala tuju pembangunan yang berpaksikan pertumbuhan ekonomi inklusif.

Dr Umi Hamidaton

Menurutnya, RMK‑13 memperlihatkan usaha penstrukturan semula ekonomi negara yang memfokus kepada inovasi, teknologi dan kelestarian bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional.

“Penekanan juga diberikan terhadap penyampaian dan pelaksanaan dasar yang mengambil kira keperluan sebenar rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Ia menunjukkan wujudnya reformasi struktur dalam agihan sumber yang lebih adil,” katanya ketika diminta mengulas pembentangan itu kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, RMK13 turut memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi digital, pengeluaran dan tenaga baharu, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Pelaksanaan rancangan lima tahun itu diunjurkan melibatkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM611 bilion termasuk RM430 bilion daripada kerajaan, RM120 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan dan RM61 bilion melalui kerjasama awam-swasta.

Daripada jumlah itu, RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi, manakala RM133 bilion untuk sektor sosial termasuk pendidikan dan kesihatan.

Sektor keselamatan menerima RM51 bilion, manakala RM17 bilion lagi diperuntukkan bagi pentadbiran kerajaan.

“Pendekatan menyeluruh ini menandakan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembangunan yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah memperkukuh kesejahteraan sosial dan kelestarian negara menjelang 2030,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button