Ancaman bom di bangunan berhampiran pusat beli-belah palsu
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan ancaman bom yang diterima menerusi e-mel membabitkan sebuah bangunan berhampiran sebuah pusat beli-belah di ibu negara semalam adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus pengawal keselamatan bangunan berkenaan pada pukul 8.17 malam selepas e-mel ancaman itu diterima.
Menurut beliau, e-mel tersebut mendakwa terdapat bom paip di dalam bangunan berkenaan, menyebabkan pengurusan mengambil tindakan segera mengosongkan premis sebagai langkah berjaga-jaga.
“Susulan itu, Unit Pemusnah Bom bersama Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan rapi di kawasan yang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada sebarang bahan letupan, objek mencurigakan atau peralatan yang mempunyai kaitan dengan bom ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati e-mel berkenaan merupakan ancaman palsu yang dipercayai dihantar bagi mencetuskan ketakutan dan mengganggu ketenteraman awam.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















