BERITA SEMASALUAR NEGARA

Jepun diancam serangan beruang, 12 kematian sejak April lalu

TOKYO – Jepun berdepan gelombang serangan beruang paling buruk dalam sejarah negara itu apabila tujuh mangsa dilaporkan maut dan 88 lagi cedera parah dalam tempoh sebulan lalu, menurut laporan media tempatan.

Kementerian Alam Sekitar Jepun memaklumkan rekod angka itu melengkapkan tempoh enam bulan sejak April lalu yang menyaksikan keseluruhan 12 kematian dan 196 kecederaan akibat serangan beruang di 21 daripada 47 wilayah negara berkenaan.

Lebih membimbangkan, insiden yang sebelum ini tertumpu di kawasan luar bandar kini menular ke kawasan bandar.

Rakaman kamera litar tertutup di Daisen, bandar berpenduduk 76,000, menunjukkan seorang warga emas berusia 82 tahun diserang dari belakang ketika sedang melintas jalan pada pagi 11 Oktober.

Mangsa dirawat di hospital kerana luka pada muka.

beruang
Rakaman CCTV menunjukkan seekor beruang memasuki sebuah pasar raya di Jepun.

Di Iwate, pada 17 Oktober lalu, seorang pekerja spa yang juga pengadil gusti profesional wanita, Katsumi Sasazaki, maut selepas diserang ketika mencuci kolam mandi luar berhampiran sungai.

Beberapa hari sebelum itu, dua individu cedera apabila seekor beruang hitam menceroboh sebuah pasar raya di Tokyo pada 8 Oktober untuk mencari makanan.

Di Miyagi pula, seorang wanita yang tidak dikenali maut selepas diserang ketika mencari cendawan pada 4 Oktober.

Pakar menjelaskan beruang hitam Asia kini bertindak lebih agresif berikutan kekurangan kacang beech iaitu sumber makanan utama sehingga haiwan tersebut merayau masuk ke penempatan dan premis makanan.

Susulan peningkatan serangan, Kedutaan Amerika Syarikat di Tokyo turut mengeluarkan amaran hidupan liar dan menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan yang dilaporkan mempunyai kehadiran beruang.

Sementara itu, di Kazuno, wilayah Akita, pihak berkuasa Jepun mengerahkan anggota tentera bagi membantu menjerat beruang selepas komuniti setempat tidak lagi mampu menangani situasi luar biasa itu.

Operasi yang dimulakan sejak Rabu itu dilaksanakan di kawasan pergunungan berhutan tebal yang dikesan mencatatkan peningkatan ketara kemunculan beruang.

Penduduk setempat sebelum ini diarahkan mengelak daripada memasuki kawasan hutan tebal dan menghadkan aktiviti luar rumah selepas waktu malam bagi mengurangkan risiko diserang haiwan liar yang mencari makanan berhampiran kawasan kediaman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button