Empat penghuni Puspen larikan diri ditahan semula
PUTRAJAYA – Empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop, Perak yang melarikan diri Jumaat lalu, berjaya ditahan semula di sekitar Sungai Siput, Perak.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, kesemua penghuni terbabit berjaya ditahan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Susulan insiden itu, tular satu mesej di media sosial yang mendakwa kesemua penghuni tersebut berada di sekitar Bandar Baru Bangi sekali gus menimbulkan keresahan kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Maklumat yang tular itu adalah palsu. Kesemua penghuni terbabit hanya berada di sekitar daerah Sungai Siput, Perak sebelum berjaya ditangkap semula.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, AADK telah memulakan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk meneliti sama ada wujud unsur kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).
Katanya, tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu kerana tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















