Nyah jenayah penagihan dadah belum jadi dasar negara – AADK
PUTRAJAYA – Isu nyah jenayah terhadap penagihan dadah masih belum dilaksanakan secara rasmi sebagai dasar negara walaupun telah dibincangkan sejak bertahun-tahun lalu.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, isu nyah jenayah terhadap penagihan dadah telah dibangkitkan sejak lima hingga enam tahun lalu dan terdapat cadangan untuk mencontohi model seperti yang dilaksanakan di Portugal, namun perkara itu masih berada pada peringkat cadangan dan memerlukan kajian lanjut.
Menurut Ruslin, penagih yang hadir secara sukarela kepada AADK atau ditahan dan diberikan rawatan di bawah Seksyen 6 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, tidak akan direkodkan sebagai pesalah jenayah.
“Kita beri rawatan, bukan hukuman. Mereka tidak akan direkodkan sebagai pesalah jenayah kerana datang secara sukarela atau dibawa ke pusat pemulihan.
“Berbeza dengan mereka yang ditangkap dan didakwa bawah Seksyen 12(2) atau Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang secara automatik akan mempunyai rekod jenayah,” katanya setelah hadir perasmian kempen kesedaran Belia Bebas Dadah melalui kerjasama strategik bersama TGV Cinemas yang dilancarkan semalam di Sunway Putra Mall.
Beliau turut menjelaskan sama ada seseorang itu diklasifikasikan sebagai pesalah jenayah atau tidak bergantung kepada agensi penguatkuasaan yang membuat tangkapan.
“Kalau AADK buat operasi dan dapati individu itu positif dadah tetapi tidak memiliki sebarang bahan, kita akan proses di bawah Seksyen 6. Tapi kalau dia ada dadah, kita serah kepada polis.
“Polis pula ada kuasa mendakwa bawah Seksyen 15(1)(a) atau Seksyen 12(2), jadi akan ada rekod. Jadi ia bergantung kepada keadaan tangkapan dan agensi yang mengambil tindakan,” katanya lagi.
Ruslin juga menyuarakan kebimbangan terhadap stigma masyarakat yang terus menjadi penghalang kepada bekas penagih dadah untuk kembali ke dalam masyarakat.
“Kita ada kes penagih yang dah pulih, tapi bila nak cari kerja, majikan semak latar belakang. Mereka susah dapat kerja walaupun tiada rekod jenayah.
“Bila tidak diterima masyarakat, mereka kecewa dan akhirnya kembali menagih.
“Jadi kita perlu ada pendekatan lebih holistik – rawat mereka, terima mereka semula dan beri peluang kedua,” katanya lagi.
Menurutnya, AADK kini melaksanakan dasar pengalihan dengan memperluas akses kepada rawatan, termasuk kepada individu yang menyalah guna bahan selain dadah.
“Kalau dulu hanya penagih dadah, sekarang penyalah guna bahan juga layak menerima rawatan. Ini selari dengan pendekatan kita untuk menekan aspek pemulihan berbanding pendakwaan,” katanya lagi.
Beliau berharap semua pihak termasuk kementerian, agensi penguatkuasaan dan masyarakat sivil dapat berganding bahu bagi menjayakan usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






