BERITA SEMASA

Trend salahguna dadah meningkat sejak 2022 – AADK

PUTRAJAYA – Trend penyalahgunaan dadah di negara ini mencatatkan peningkatan dalam tempoh empat tahun bermula 2022 sehingga September 2025.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu kenyataan berkata, sejak tahun 2022, sebanyak 137,176 kes penyalahgunaan dadah direkodkan, 145,526 (2023), 192,857 (2024) diikuti 156,316 kes dicatatkan setakat September 2025.

Kenyataan tersebut turut menyebut, dalam tempoh empat tahun yang sama, golongan penganggur yang terdiri daripada lepasan sekolah dan siswazah yang masih belum mendapat pekerjaan merupakan jumlah tertinggi dalam penyalahgunaan dadah, diikuti golongan bekerja sendiri dan pekerja di sektor swasta.

Mengambil contoh setakat September 2025, seramai 49,284 golongan penganggur terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 45,068 bekerja sendiri dan 35,259 bekerja di sektor swasta.

“Dadah jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, ice dan batu merupakan jumlah tertinggi yang diambil oleh mereka setiap tahun.

“Ia diikuti dadah jenis opiat, ganja, lain-lain dan pil psikotropik,” kata kenyataan itu lagi.

Dari segi pecahan umur, AADK berkata, golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun merupakan jumlah tertinggi mencatatkan penyalahgunaan dadah.

“Seramai 86,567 kes penyalahgunaan dadah dicatatkan dalam kalangan belia pada tahun 2022, 90,520 (2023), 116,245 (2024) dan 91,086 direkodkan setakat September 2025.

“Golongan lelaki merupakan yang tertinggi direkodkan dalam penyalahgunaan dadah. Seramai 131,464 direkodkan pada tahun 2022, 139,208 (2023), 184,219 (2024) dan 149,037 setakat September 2025.

“Bagi wanita pula, seramai 5,712 kes penyalahgunaan direkodkan pada tahun 2022, 6,318 (2023), 8,638 (2024) dan 7,279 setakat September 2025,” katanya.

Menurutnya, fokus utama AADK terhadap aspek perkhidmatan rawatan dan pemulihan antaranya melalui pemprofilan klien menerusi mekanisme saringan serta penilaian saintifik.

Selain itu, antara perkara lain yang dilaksanakan adalah program rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK), program rawatan dan pemulihan secara sukarela, alternatif rawatan melalui pusat pemulihan persendirian (swasta) serta pengukuhan sistem sokongan sosial dan institusi keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button