PMKS sumbang hampir 40 peratus kepada KDNK negara, berkembang 5.8 peratus tahun sebelumnya
KUALA LUMPUR – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara apabila menyumbang sebanyak RM652.4 bilion atau 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai tersebut dijangka mewakili kadar pertumbuhan 5.8 peratus bagi 2024, sekali gus mengatasi unjuran pertumbuhan keseluruhan KDNK negara yang dianggar pada kadar 5.1 peratus.
“Pertumbuhan PMKS kekal kukuh dipacu oleh prestasi stabil sektor Perkhidmatan dan Pembuatan yang masing-masing menyumbang 84.7 peratus daripada keseluruhan KDNK PMKS,” kata DOSM dalam kenyataan selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, sektor Pertanian menyumbang 8.7 peratus, diikuti Pembinaan (5.0 peratus) serta Perlombongan dan Pengkuarian (0.5 peratus).
Sektor Perkhidmatan berkembang 5.7 peratus, dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.
Prestasi eksport PMKS turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan peningkatan ketara sebanyak 31.3 peratus kepada RM196.8 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Sektor pembuatan menjadi penyumbang utama dengan lonjakan eksport sebanyak 114.8 peratus manakala sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan 7.9 peratus.
“Secara keseluruhan, eksport PMKS mewakili 14.3 peratus daripada jumlah eksport negara dengan pembuatan menyumbang 8.8 peratus, perkhidmatan (5.2 peratus) dan pertanian (0.3 peratus),” jelas kenyataan itu lagi.
Eksport sektor pembuatan PMKS meningkat kepada RM122.0 bilion berbanding RM113.1 bilion pada 2023 yang disumbang oleh produk seperti barangan keluaran kilang, jentera, kelengkapan pengangkutan serta komponen utama yang secara keseluruhan merangkumi 60.3 peratus.
DOSM berkata, dari sudut guna tenaga, PMKS menyumbang sebanyak 8.10 juta pekerjaan, iaitu 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia.
“Ini sekali gus mencatat pertumbuhan tahunan 3.1 peratus.
“Sektor pertanian mencatat bilangan tenaga kerja tertinggi dalam kalangan PMKS iaitu sebanyak 42.3 peratus atau kira-kira 800,000 orang, meningkat 0.6 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Sementara itu produktiviti buruh PMKS juga bertambah baik, apabila nilai ditambah per pekerja meningkat 2.6 peratus kepada RM80,507 berbanding RM78,475 pada 2023.
“Semua sektor mencatat peningkatan produktiviti buruh dengan sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu 16.8 peratus, diikuti pembuatan (2.2 peratus), perlombongan dan pengkuarian (2.0 peratus), pertanian (1.9 peratus) dan perkhidmatan (1.6 peratus),” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








