BERITA SEMASA

Bekalan minyak negara masih mencukupi

KELANA JAYA – Situasi bekalan minyak negara dalam masih mencukupi meskipun konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerajaan memberi keutamaan kepada usaha memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal mencukupi bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada rakyat dan sektor perniagaan.

Beliau berkata, setakat ini negara tidak mengalami kekurangan bekalan minyak dan pengguna masih boleh mendapatkan bahan api seperti biasa tanpa sebarang sekatan atau catuan, lapor Kosmo.

“Kita telah berjaya memastikan bekalan yang ada mencukupi dan konsisten dalam negara.

“Bila tidak ada kekurangan bekalan, rakyat tidak perlu risau untuk mengisi minyak dan peniaga juga boleh terus mendapatkan bekalan diperlukan untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas melakukan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini.

Amir Hamzah memberitahu, kestabilan bekalan itu dicapai hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat tenaga negara yang terus berusaha mendapatkan sumber bekalan baharu bagi memenuhi keperluan domestik.

Beliau menjelaskan, kerajaan turut mengambil langkah mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap rakyat menerusi mekanisme subsidi bersasar yang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, harga minyak RON95 bersubsidi masih dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah dunia dipengaruhi faktor geopolitik dan ketidaktentuan pasaran antarabangsa.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan juga sedang memperkukuhkan strategi keselamatan tenaga negara dengan mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran atau negara tertentu.

Menurutnya, pendekatan itu penting sebagai langkah pengurusan risiko sekiranya berlaku gangguan bekalan akibat konflik, bencana atau ketidaktentuan geopolitik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button