Malaysia belum serumit negara jiran, tiada lagi catuan dilaksanakan – PM
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masalah bekalan bahan api yang dihadapi Malaysia belum serumit negara jiran yang terpaksa melakukan catuan susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Malah, beliau memberi jaminan bekalan minyak semasa negara masih mencukupi untuk tempoh hingga Mei, dengan usaha terus digandakan bagi memastikan bekalan terus stabil selepas tempoh tersebut.
“Jadi kita sedang pantau setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas selesai solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, usaha PETRONAS meluaskan pelaburannya bukan sahaja di negara Teluk tetapi di Brazil, Suriname dan Kanada membolehkan pulangan dan hasil serta sumber bekalan diperoleh, seterusnya memberi manfaat terhadap keperluan tempatan.
“Setakat ini Alhamdulillah, kalau sudah lihat umpamanya keadaan gawat di beberapa negara sekeliling kita, kita harus bersyukur.
“Jangan terlalu leka dan terlalu sibuk dalam soal politik, sebaliknya tumpu untuk membela nasib rakyat dan negara,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Anwar juga menyatakan penghargaan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang dihubungi semalam kerana sudah mengarahkan supaya kapal tangki Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz.
“Hari ini, saya juga ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran kerana dalam perbincangan saya semalam, dia sudah mengarahkan supaya langkah diambil segera melepaskan kapal minyak PETRONAS dan juga syarikat Malaysia,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, mengumumkan langkah baharu iaitu penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.
Bagaimanapun, harga RON95 bersubsidi serta diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM1.99 seliter dan RM2.15 seliter.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan semalam turut memaklumkan, kerajaan sudah menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan di bawah pelaksanaan program BUDI95 dan BUDI Diesel, susulan peningkatan harga minyak mentah global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








