BERITA SEMASA

PM puji penganjuran MTHQA ke-65

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang melabuhkan tirai, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, majlis penutup kali ini tampil dengan kelainan yang membanggakan apabila Perdana Menteri sendiri memberikan pengiktirafan terhadap pengurusan MTHQA 2025.

“Pengiktirafan itu wajar menjadi pembakar semangat untuk kita bekerja dengan lebih kuat, kreatif dan ikhlas demi agama, bangsa serta negara,” katanya.

Mohd Na’im berkata, MTHQA tahun ini bukan sahaja berjalan lancar, malah meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan negara.

Beliau turut merakam penghargaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, jawatankuasa penganjur serta semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjayakan acara tersebut.

“Segala jasa, keringat dan pengorbanan masa serta tenaga semua petugas adalah amalan mulia yang mudah-mudahan dinilai sebagai ibadah dan diberi ganjaran setinggi-tingginya oleh Allah SWT,” ujarnya.

MTHQA yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 2 Ogos lalu menyaksikan kejayaan berganda apabila qari dan qariah negara dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing.

Bagi kategori qari, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan meraih markah 97.01 peratus untuk menewaskan peserta Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) dan wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus).

Sementara itu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi muncul johan qariah dengan markah 95.88 peratus, mengatasi peserta Maghribi, Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia, Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button