BERITA SEMASAPOLITIK

Jangan doa kehancuran sesama Islam, politik perlu matang – Dr. Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh menegaskan perbezaan pendapat dalam politik adalah perkara biasa, namun tindakan mendoakan kehancuran sesama umat Islam dan melemparkan penghinaan melampau tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.

Katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, tindakan segelintir pihak yang membaca doa Qunut Nazilah untuk kehancuran individu tertentu malah menyamakan pemimpin sesama Islam dengan haiwan adalah keterlaluan dan bertentangan dengan nilai Islam.

“Islam tidak mengajar kita untuk mendoakan kehancuran terhadap sesama Islam dan tidak juga mengajar kita untuk menghina orang lain,” kata Ahli Parlimen Merlimau itu.

Menurut beliau, ada yang menyamakan pemimpin negara dengan monyet dan pemimpin asing yang digelar seperti binatang, sedangkan perbincangan yang dijalankan adalah usaha diplomasi bagi menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat konflik antara dua negara.

“Berbeza pendapat dengan fakta itu wajar, tetapi jangan biarkan emosi yang tidak matang menguasai akal waras,” katanya lagi.

Beliau turut menegur tindakan sesetengah pihak yang membalas kritikan dengan alasan “geng sebelah sini dulu pun buat perkara yang sama”, dengan menyifatkannya sebagai justifikasi yang tidak berasas.

“Kalau orang dulu makan najis, adakah kita juga mahu ikut sama? Sudah tentu tidak, kerana kita tahu ia sesuatu yang kotor,” tegasnya.

Dr. Akmal berkata, beliau tidak berniat menjadi ‘penjilat’ kepada mana-mana pihak namun perkara yang benar perlu diakui dan dipuji manakala yang salah wajib ditegur.

“Kalau kita tidak mampu buat kebaikan, jangan pula halang orang lain daripada melakukannya,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, rakyat kini mahukan landskap politik yang matang dan membina, bukannya politik sempit yang memecahbelahkan masyarakat dan merendahkan akal fikiran.

“Jika orang politik masih kekal dengan gaya politik sempit, jangan marah jika rakyat semakin hilang kepercayaan dan membenci ahli politik,” katanya.

Dr. Akmal menegaskan, beliau bukan ‘walaun’ dan tidak berminat untuk menjadi sedemikian sebaliknya hanya menyatakan isi hati demi menjaga nama baik Islam agar tidak dipalit dengan fitnah yang merosakkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button