BERITA SEMASA

Kerajaan MADANI pastikan agihan peruntukan pembangunan adil dan inklusif demi rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI sentiasa adil dan terangkum dalam mengagihkan peruntukan pembangunan bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi dan juga memenuhi keperluan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan dalam penyediaan infrastruktur diberikan kepada projek yang menyokong agenda kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Oleh itu, setiap projek dinilai secara holistik, dengan penekanan pada potensi impak tinggi terhadap pembangunan sosial, pemerkasaan ekonomi tempatan, dan penciptaan peluang pekerjaan, terutamanya di kawasan desa serta wilayah kurang membangun,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut memberi contoh, peruntukan pembangunan yang diberikan kepada bebrapa negeri yang menunjukkan kenaikan pada 2024 berbanding 2022.

Jika dibandingkan peruntukan perbelanjaan pembangunan di antara tahun 2022 dengan tahun 2025, jelas komitmen Kerajaan MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan bagi negeri yang kurang membangun.

“Peruntukan bagi Sabah pada 2022 adalah sebanyak RM5.2 bilion dinaikkan kepada RM6.7 bilion pada 2025; Sarawak daripada RM4.7 bilion kepada RM5.9 bilion; Terengganu daripada RM1.4 bilion kepada RM1.8 bilion; dan Kelantan daripada RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion.

“Ini diikuti Kedah yang menerima RM1.6 bilion pada 2022 dinaikkan kepada RM2.2 bilion pada 2025; dan Perlis daripada RM0.40 bilion kepada RM0.60 bilion,” katanya.

Anwar turut memberitahu dewan bahawa bagi pelaksanaan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak, sehingga Disember 2024, sebanyak sembilan daripada 11 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan sebanyak empat daripada 35 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan.

“Kerajaan MADANI telah meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan kos berjumlah 15.90 bilion ringgit yang disediakan di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan, tambahan kepada pembiayaan yang menggunakan sumber lain bagi membiayai projek ini.

“Kerajaan juga telah meluluskan pelaksanaan Sabah Sarawak Link Road (SSLR) dengan kos hampir 10 bilion ringgit. Selain daripada itu, Pusat Kanser Sarawak juga telah diluluskan pelaksanaannya dengan kos berjumlah 1 bilion ringgit bermula pada tahun 2025 sehingga tahun 2032,” kata Anwar lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button