Malaysia dijangka tidak alami krisis bekalan minyak – Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka tidak akan mengalami krisis bekalan minyak dalam beberapa bulan akan datang, walaupun gangguan harga dijangka berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketahanan itu sebahagiannya disumbangkan oleh rekod kukuh PETRONAS sebagai pengimport minyak serta hubungan baiknya dengan negara pengeluar minyak.
“Kita juga merupakan negara pengimport bersih minyak kerana produk (petroleum) kita adalah premium, yang harganya sedikit lebih tinggi, tetapi kita masih mengimport (minyak mentah).
“Kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat beberapa gangguan dari segi harga bahan api tetapi bekalan dijamin untuk beberapa bulan akan datang,” katanya ketika sesi soal jawab pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara, di sini hari ini.
Buat masa ini, bekalan minyak mentah dunia terjejas berikutan perang di Iran yang dicetuskan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel hingga menyebabkan laluan perkapalan di Selat Hormuz terjejas.
Bulan lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mempunyai bekalan petrol RON95 yang mencukupi untuk mengekalkan harga bersubsidi RM1.99 seliter sekurang-kurangnya sehingga Mei.
Bagaimanapun, kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung Malaysia, RON97 dan RON95 tanpa subsidi dengan ketara dalam beberapa minggu sejak konflik itu tercetus.
Anwar berkata anggaran kos subsidi bahan api setakat akhir Mac adalah sekitar RM4 bilion sebulan susulan lonjakan harga minyak mentah di pasaran dunia.
Bagi menggalakkan penjimatan, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah susulan keadaan, termasuk mengarahkan kumpulan tertentu penjawat awam untuk bekerja dari rumah (BDR) mulai 15 April serta menggalakkan sektor swasta melakukan perkara yang sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








