BERITA SEMASA

Timor-Leste perkukuh suara bersama ASEAN di pentas antarabangsa

KUALA LUMPUR – Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN merupakan satu detik bersejarah yang akan turut membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mendalam dan perpaduan serantau yang lebih kukuh.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Malaysia berbangga dapat menyaksikan detik bersejarah itu semasa pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dalam proses pertumbuhan dan integrasi berterusan ASEAN.

“Kami amat berbangga dapat menyaksikan detik bersejarah ini, kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN pada ketika komuniti ASEAN sedang berkembang, khususnya bagi pihak Kementerian Komunikasi,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Media Antarabangsa, di sini hari ini.

Fahmi berkata, Malaysia dan Timor-Leste telah mengambil langkah konkrit untuk memperkukuh hubungan dua hala melalui pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) malam tadi.

MoU tersebut, antara Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi serta Sekretariat Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, akan memberi tumpuan kepada kerjasama institusi, pembangunan kapasiti dan inisiatif perkongsian maklumat.

“Ini satu permulaan yang sangat baik. Semua persiapan berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat, hanya kurang daripada sebulan selepas lawatan Perdana Menteri ke Timor-Leste September lalu,” katanya.

Menurut Fahmi, kerjasama itu turut akan meneroka bidang kesalinghubungan dan kerjasama digital, termasuk perkongsian pengalaman Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian 5G, pembangunan projek kabel dasar laut serta minat Timor-Leste terhadap model Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) Malaysia.

Mulai 17 Oktober, rakyat Malaysia yang melancong ke Dili dan Timor-Leste juga akan menikmati pakej perayauan ASEAN yang lebih baik, sementara penyedia perkhidmatan telekomunikasi dari kedua-dua negara kini berbincang untuk menawarkan pelan data yang lebih menarik bagi pelancong dan pengembara.

Fahmi turut berkata, Malaysia berasa berbesar hati menjadi tuan rumah kepada lebih 2,900 wakil media dari seluruh dunia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Kami berharap sidang kemuncak ini berjalan lancar. Ini merupakan permulaan yang baik dan sememangnya satu detik bersejarah bagi rantau ini.”

Terdahulu, Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN selepas pemeteraian rasmi kemasukannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hari ini.

Detik bersejarah itu diserikan dengan upacara menandatangani Deklarasi Mengenai Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, yang disaksikan oleh para pemimpin daripada 10 negara anggota lain.

Mengenai Kuala Lumpur Accord yang menandakan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, Fahmi berkata butiran penuh akan diumumkan oleh Kementerian Luar Negeri selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut.

“Penandatanganan itu telah diawalkan atas permintaan Perdana Menteri Thailand,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button