Trump bakal saksikan penyelesaian damai Thailand-Kemboja – PM
KUALA LUMPUR – Penyelesaian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja bagi menangani pertikaian sempadan yang berlarutan dijangka dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai saksi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai negara pendamai dalam usaha menamatkan ketegangan antara kedua-dua negara tersebut.

Menurut Anwar, kejayaan itu adalah hasil daripada beberapa siri pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur antara ketua pasukan bersenjata Thailand dan Kemboja serta menteri-menteri luar kedua-dua negara.
“Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand mengadakan rundingan untuk memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam beberapa hari ini, pemeteraian akan disaksikan oleh saya dan Presiden Trump yang turut mendukung penyelesaian ini,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Julai lalu, kedua-dua negara mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan sempadan.
Anwar turut menyaksikan Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya yang dihadiri Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
Perdana Menteri menekankan bahawa pendekatan konstruktif Malaysia selama ini telah membantu menghasilkan keputusan positif.
“Apabila berlaku konflik Thailand dan Kemboja, kita ambil inisiatif hubungi mereka dan mereka menyambut.
“Kita mengajak mereka datang ke Kuala Lumpur dan rundingan melibatkan angkatan bersenjata, Panglima Angkatan Tentera, Menteri Luar dan pegawai berkaitan telah diadakan di sini,” ujarnya.
Selain isu sempadan, Anwar berkata, ASEAN kini berdepan cabaran lain termasuk krisis Myanmar, pengedaran dadah, dan penipuan atau scammer yang menjejaskan rakyat di rantau ini.
Beliau menekankan bahawa isu pengedaran dadah perlu dihentikan, sementara langkah pencegahan terhadap scammer juga menjadi keutamaan.
Dalam soal Myanmar, Anwar berkata, beliau diberi ruang oleh rakan-rakan pemimpin ASEAN untuk berbincang secara langsung dengan pihak berkenaan, selaras konsensus lima perkara ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








