BERITA SEMASA

RTM mohon maaf gangguan teknikal RTMKlik ketika siaran langsung Piala Dunia

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf susulan gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, gangguan kira-kira pukul 3 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses siaran secara lancar menerusi platform digital berkenaan.

Sebaik sahaja gangguan itu dikesan, katanya, pasukan teknikal RTM bersama penyedia teknologi berkaitan segera mengambil tindakan bagi memulihkan perkhidmatan dan memastikan siaran dapat diteruskan.

“Kami memahami kekecewaan peminat bola sepak yang menantikan perlawanan berkenaan dan menghargai kesabaran serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ashwad berkata, sebagai penyiar rasmi kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, RTM sentiasa komited untuk menyediakan pengalaman tontonan terbaik kepada rakyat negara ini.

Beliau kemudiannya menambah, RTM juga terus memperkukuhkan infrastruktur serta sistem penyiaran digital secara berterusan bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal pada masa hadapan.

“RTM akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang merangkumi 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda, supaya dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia dengan lebih lancar dan berkualiti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button