RTM hentikan sementara siaran animasi ‘Santiago of the Seas’
KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sementara siaran siri animasi ‘Santiago of the Seas’ di TV2 susulan aduan penonton berhubung kandungan episod 22 yang disiarkan, semalam.
Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran dalam satu kenyataan hari ini berkata, RTM mengambil maklum beberapa pandangan berhubung kandungan siri animasi yang disiarkan itu.
“Berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu.
“Namun, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut, RTM kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak.
“Sehubungan dengan itu, RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di aplikasi Threads dakwaan yang mengatakan siri animasi tersebut memaparkan babak yang didakwa budaya songsang kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








