HIBURAN

Skuad Apartmen Putra: Cinta, tawa dan jiwa merdeka

APABILA bendera Jalur Gemilang berkibar megah setiap kali tibanya bulan Ogos, fikiran kita biasanya terarah kepada perarakan penuh warna-warni di Dataran Merdeka atau peragaan kehebatan pasukan keselamatan negara.

Namun, tahun ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) memilih cara berbeza untuk menghidupkan semangat kemerdekaan iaitu bukan di jalan raya, tetapi di layar kaca.

Telemovie Skuad Apartmen Putra: Misi Cinta Merdeka akan ditayangkan pada 25 Ogos ini di TV2 dan RTMKlik.

Pada 25 Ogos ini, penonton akan dibawa menyelami sebuah kisah ringan tetapi penuh makna menerusi telemovie khas berjudul ‘Skuad Apartmen Putra: Misi Cinta Merdeka’ di TV2 dan RTMKlik.

Naskhah arahan Rohayu Abdul Wahab dari Unit Drama TV RTM itu hadir bukan sekadar hiburan, tetapi turut menyulam mesej persahabatan, kekeluargaan dan patriotisme dengan gaya santai yang mudah dihayati semua lapisan masyarakat.

Pengurus Unit Drama TV RTM, Rulhaizal Abdul Rahman berkata, telemovie ini merupakan kesinambungan daripada populariti sitkom Apartment Putra yang berakhir Julai lalu, sekali gus menjadi ‘hadiah’ buat para peminat setianya.

Lebih daripada itu, ia juga wadah untuk menyuntik nilai kebangsaan dalam bentuk komedi ringan tetapi sarat pengajaran.

“Sempena bulan kemerdekaan ini, kami mahu penonton khususnya generasi muda merasakan bahawa patriotisme tidak semestinya hadir melalui acara besar-besaran, tetapi boleh juga dizahirkan melalui kisah kekeluargaan, kejiranan dan kasih sayang,” katanya dalam satu kenyataan.

Plot telemovie itu diinspirasikan daripada kasih sayang seorang anak terhadap ayahnya serta keakraban komuniti setempat.

Jalan ceritanya berkisar tentang seorang penyelia bangunan yang ingin melamar kekasih hati, namun rancangannya terganggu apabila si ayah tiba-tiba menghilang bersama seorang wanita misteri di sebuah pusat peranginan.

Salah satu babak yang terdapat dalam telemovie sarat elemen kekeluargaan dan persahabatan ini.

Situasi penuh tanda tanya itu akhirnya membawa kepada misi penyiasatan oleh rakan-rakan apartmennya yang bukan sahaja dipenuhi gelak tawa, tetapi juga sarat kejutan.

Ia dibarisi pelakon popular seperti Jiggy Masin, Elly Ariffin, Atu Zero, Mamak Puteh, Dewa Sapri, Zulin Aziz, Norkhiriah, Kenchana Dewi, Angeline Tan dan Faha.

Selain itu, telemovie tersebut turut menampilkan trio DJ Dyya, DJ Sonic dan DJ Nazrie dari NasionalFM sebagai penampilan istimewa.

Zulin (kanan) dan DJ Syya turut membuat penampilan khas dalam karya arahan Rohayu itu.

Dengan gabungan elemen cinta, komedi dan mesej perpaduan, ‘Skuad Apartmen Putra: Misi Cinta Merdeka’ menjadi simbol bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga tentang menghargai ikatan persaudaraan serta kebersamaan yang menjadikan kita rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button