RTM jadi penyiar rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026, tampil hampir 100 jam liputan
KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan momentum kejayaan penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 apabila tampil sebagai penyiar rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
RTM dalam satu kenyataan memaklumkan, liputan aksi atlet negara di temasya berprestij itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV saluran 111, RTMKlik, media sosial rasmi RTM serta saluran Sukan+ di Astro 806.
Menurut kenyataan itu, hampir 100 jam siaran disediakan sepanjang temasya merangkumi liputan Upacara Pembukaan dan Penutup, dua sesi siaran langsung laporan harian serta slot sorotan harian.
“Sesi siaran langsung laporan harian akan disiarkan dari 24 Julai hingga 2 Ogos bermula pukul 6 petang hingga 9 malam, manakala sesi kedua berlangsung dari 25 Julai hingga 2 Ogos bermula pukul 1 pagi hingga 4 pagi.
“Slot sorotan harian pula disiarkan selama sejam bermula 25 Julai hingga 3 Ogos, dari pukul 2 petang hingga 3 petang,” menurut kenyataan itu.
Bagi Grandstand Upacara Pembukaan pada 24 Julai, yang berlangsung dari pukul 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, RTM menampilkan tiga hos berpengalaman iaitu Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie bagi mengulas perjalanan majlis pembukaan temasya empat tahun sekali itu.
Sementara itu, Grandstand Upacara Penutup pada 3 Ogos bermula pukul 2.30 pagi hingga 5.30 pagi akan dikendalikan Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim.
Pada edisi kali ini, kontinjen Malaysia diketuai Chef de Mission, Datuk Awalan Abdul Aziz dengan kekuatan 59 atlet termasuk 22 atlet para yang akan beraksi dalam 64 acara membabitkan lapan jenis sukan.
Antara sukan yang disertai ialah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.
Kontinjen negara menyasarkan kutipan lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa berdasarkan prestasi semasa atlet menjelang temasya.
Menurut RTM, liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu memperkukuh komitmennya dalam menyajikan kandungan sukan bertaraf antarabangsa kepada rakyat Malaysia, sekali gus meneruskan kesinambungan kejayaan penyiaran Piala Dunia FIFA 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















