BERITA SEMASA

Kesilapan terjemahan pertabalan Agong di Facebook: META mohon maaf

KUALA LUMPUR – META memohon maaf atas kesilapan terjemahan automatik menerusi satu entri di Facebook berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara kelmarin.

Menurut Pengarah Dasar Awam META Asia Tenggara, Rafael Frankel, pihaknya menerima maklum mengenai kesilapan terjemahan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.

“Kami dimaklumkan tentang kesilapan dalam terjemahan automatik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris berhubung catatan Facebook berkaitan istiadat pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dan hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

“Kami telah menyelesaikan ralat teknikal ini. Kami amat menghormati kerabat diraja Malaysia, dan dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada RTM, Majlis Negeri Johor dan pihak lain yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam RTM menjelaskan pihaknya tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, pada Sabtu.

Sebaliknya memaklumkan apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.

Kenyataan itu turut memaklumkan, RTM sudah membuat laporan polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sudah menghubungi META berkaitan salah terjemahan oleh sistem META itu.

Sementara itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi Facebook turut melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang menuduh RTM membuat hantaran jelik dalam bahasa Inggeris.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button