Agong ingatkan Ahli Parlimen jangan hasut hingga cetus ketegangan wilayah
KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan yang boleh menimbulkan ketegangan antara wilayah di negara ini, demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, pembentukan Malaysia adalah berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat.
Justeru itu, Sultan Ibrahim bertitah, hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara keseluruhan hendaklah sentiasa diutamakan demi kesejahteraan bersama.
“Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu perpaduan dan hormat menghormati serta kerjasama erat antara negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Sebarang perbezaan pandangan perlu ditangani secara matang dan berhemah, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan Ahli-ahli Parlimen bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bukan sekadar mencerminkan pendirian politik, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap masa depan rakyat dan negara.
“Oleh itu, laksanakanlah amanah ini dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan integriti demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda.
Baginda turut mengajak semua pihak untuk terus berdoa agar Malaysia kekal maju dan makmur, aman dan damai serta seluruh rakyat dapat menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








