BERITA SEMASA

Program naturalisasi pemain bola sepak kebangsaan dihentikan sementara waktu – Adam Adli

KUALA LUMPUR – Program naturalisasi pemain bagi pasukan kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dihentikan buat sementara waktu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halil bagaimanapun berkata, kelab bola sepak yang bernaung di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program itu mengikut langkah dan prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Pemain naturalisasi mewujudkan persekitaran yang kompetitif dengan memberikan persaingan kepada pemain-pemain tempatan untuk disenarai dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan kita.

“Di samping itu, kehadiran pemain dalam kategori ini juga turut membantu mempertingkatkan mutu permainan bola sepak Malaysia yang dapat dilihat menerusi peningkatan ranking antarabangsa sekarang,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai usaha FAM bagi memajukan sukan bola sepak dan adakah dasar naturalisasi akan diteruskan pada masa akan datang.

Adam Adli kemudiannya menjelaskan, bagi meningkatkan prestasi bola sepak negara secara menyeluruh, KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjassama FAM mewujudkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang bermula pada tahun 2014 dengan fokusnya di peringkat umur tujuh hingga 17 tahun.

“Program ini merupakan pelan strategik jangka panjang yang telah menggariskan sembilan inisiatif bagi menghasilkan generasi baharu pemain bola sepak Malaysia yang boleh bersaing di peringkat asia dan dunia seterusnya layak ke Piala Dunia,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, program itu mempunyai 16,228 pemain dan 767 jurulatih daripada 63 akademi tunas, 63 pusat latihan daerah, 14 buah sekolah sukan negeri, sebuah sukan Malaysia serta sebuah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button