BERITA SEMASASUKAN

Tiada pemalsuan dokumen pemain Harimau Malaya – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tiada sebarang pemalsuan dokumen dikesan dalam permohonan tujuh pemain warisan yang mewakili Harimau Malaya, seperti yang didakwa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil semakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati semua permohonan dibuat mengikut prosedur sah yang ditetapkan kerajaan.

“Ketika permohonan ini diproses, tiada sebarang unsur pemalsuan dikesan. Apabila FIFA menyebut mengenai pemalsuan dokumen, ia tidak merujuk kepada dokumen yang dikeluarkan oleh JPN,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Saifuddin, JPN hanya memerlukan satu dokumen utama iaitu sijil kelahiran mengikut prosedur kerajaan.

“Berdasarkan Seksyen 10A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, pendaftaran boleh diluluskan sekiranya pendaftar berpuas hati dengan maklumat diberikan pemohon.

“Kami hanya memerlukan sijil kelahiran. Jika pendaftar berpuas hati, undang-undang membenarkan pendaftaran dilakukan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan, tiada keperluan untuk mengemukakan sijil kelahiran mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya permohonan dinilai berdasarkan tempoh kediaman, kelakuan baik dan penguasaan bahasa Melayu.

Isu tersebut timbul selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 6 Oktober lalu mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan dokumen palsu bagi mendaftarkan tujuh pemain warisan Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo untuk layak mewakili Malaysia.

FIFA mendakwa terdapat perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal diperoleh mereka dengan yang dikemukakan FAM, sekaligus mengenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) terhadap FAM serta 2,000 franc Swiss (RM11,000) dan penggantungan 12 bulan kepada setiap pemain terbabit.

Bagaimanapun, FAM menafikan tuduhan itu, menjelaskan bahawa kesilapan berlaku akibat ralat pentadbiran apabila kakitangan secara tidak sengaja memuat naik dokumen daripada ejen, bukannya rekod rasmi dikeluarkan oleh JPN.

FAM turut memaklumkan rayuan rasmi sedang disediakan, lengkap dengan dokumen sah disahkan kerajaan bagi membuktikan tiada pemalsuan berlaku.

Saifuddin dalam pada itu menegaskan, KDN akan terus memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan dan memastikan nama baik negara tidak tercemar dalam isu berkenaan.

“Apa yang penting, semua pihak perlu berpandukan kepada dokumen rasmi kerajaan dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button