BERITA SEMASASUKAN

“Ada yang kata Malaysia tak boleh kalahkan Vietnam, tapi kami buktikan” – Peter Cklamovski

KUALA LUMPUR – “Ada yang mengatakan kita tidak mampu mengalahkan Vietnam, namun malam ini kita berjaya menjaringkan gol yang baik dan anak buah saya beraksi dengan baik sehingga tamat perlawanan.”

Demikian reaksi Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, selepas menyaksikan anak buahnya membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil daripada mentaliti dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain dalam setiap perlawanan.

“Seperti yang saya selalu cakap, ia adalah mentaliti yang ditunjukkan oleh pemain-pemain, komitmen mereka untuk berikan yang terbaik setiap kali perlawanan.

“Jadi kemenangan malam ini adalah hasilnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Baca juga : Harimau Malaya bangkit ikat Cape Verde 1-1

Peter Cklamovski
Peter Cklamovski

Tambah Cklamovski, sokongan padu lebih 61,000 penyokong turut menjadi pembakar semangat kepada Harimau Malaya untuk mencipta kemenangan besar itu.

“Saya ingin berterima kasih kepada penyokong-penyokong yang hadir malam ini, ia benar-benar luar biasa,” katanya sambil menyifatkan kehadiran peminat sebagai satu dorongan besar buat pasukan negara.

Dalam aksi penuh bertenaga itu, kehadiran lima pemain warisan menyuntik dimensi baharu kepada skuad negara.

Pemain kelahiran Brazil, Joao Figueiredo membuka tirai jaringan pada minit ke-49 hasil percubaan dari luar kotak penalti terkena pertahanan lawan sebelum melambung masuk ke gawang Vietnam.

Tidak lama kemudian, Rodrigo Holgado, yang meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan di kepala menambah jaringan kedua pada minit ke-58 hasil hantaran cemerlang Arif Aiman Hanapi.

Arif terus menjadi penggerak utama apabila sekali lagi mencipta peluang gol, kali ini untuk La’vere Corbin-Ong menyumbat gol ketiga Malaysia pada minit ke-66, sekali gus menyemarakkan sorakan puluhan ribu penyokong di stadium keramat itu.

Selain Figueiredo dan Holgado, dua lagi pemain warisan, iaitu Facundo Garces dan Jon Irabazal turut diberikan peluang dalam kesebelasan utama, manakala Imanol Machuca pula membuat penampilan sulung apabila dimasukkan pada minit ke-72.

Kemenangan ini bukan sahaja menamatkan badi ke atas Vietnam, malah meniup semangat baharu dalam misi Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button