Saluran utama RTM terus bersiaran di Astro, NJOI, Sooka
KUALA LUMPUR – Saluran televisyen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu TV1, TV2 dan TV Okey akan terus disiarkan di platform Astro, NJOI dan Sooka bagi memastikan akses kepada kandungan awam terus dinikmati seperti biasa.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, RTM dan Astro memaklumkan, kerjasama strategik yang diperkukuhkan antara RTM dan Astro itu turut menyaksikan saluran Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM bakal ditawarkan kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.
Seiring perkembangan teknologi serta peningkatan pilihan platform media, kedua-dua pihak percaya kerjasama yang lebih erat antara pemain industri adalah penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti dapat terus diperkasakan pada kos yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua organisasi berpandangan, landskap media massa kini memerlukan pendekatan yang lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa hadapan selaras dengan perubahan teknologi serta corak penggunaan media yang semakin berkembang.
“RTM dan Astro komited untuk terus memperluaskan kerjasama strategik yang mampu merancakkan pembangunan kandungan tempatan, memperkasa bakat kreatif negara serta menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing dan relevan.
“Kedua-dua pihak juga menyambut baik peluasan penyiaran saluran RTM di platform Astro, termasuk Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM yang dijangka memperluaskan akses rakyat kepada kandungan awam berkualiti, dipercayai dan relevan,” kata kenyataan itu, hari ini.
RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Sebelum ini, RTM mengumumkan saluran TV1, TV2 dan TV Okey akan menamatkan penyiaran di platform Astro bermula 1 Julai 2026 selepas hampir tiga dekad kerjasama.
Keputusan itu dibuat susulan kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung kadar harga dan kontrak penyiaran yang memenuhi kemampuan kewangan masing-masing, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelanggan Astro mengenai akses kepada saluran penyiar awam berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








